pembela kaum cina ♥ TUN TAN CHENG LOCK ♥

Tun Tan Cheng Lock merupakan seorang tokoh pemimpin masyarakat yang  telah memberi banyak sumbangan terhadap perjuangan membela masyarakat kaum Cina dalam bidang politik, pendidikan dan kebajikan.


Beliau dilahirkan pada 5 April 1883 di Hereen Street, Melaka dan merupakan anak yang ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan di Malacca High School (sekarang Sekolah Tinggi Melaka) pada tahun 1899  dan di Raffles Institution, Singapura.  Pada 1902, beliau mula bertugas sebagai guru di Raffles Institution.  Pada tahun 1908, selepas enam tahun berkhidmat di sini, beliau meletakkan jawatan.


Sejarah kepemimpinannya bermula pada usia 29 tahun apabila beliau dilantik oleh kerajaan British menjadi ahli Suruhanjaya Perbandaran Melaka pada tahun 1912.  Pada tahun yang sama, beliau dilantik menjadi Jaksa Pendamai Negeri Melaka.  Beberapa bulan kemudian dalam tahun tersebut beliau dilantik pula sebagai Pesuruhjaya Majlis Perbandaran untuk bandar-bandar dan Pelabuhan Melaka.
.
Pengenalan Malayan Union pada 1 April 1946 oleh British, telah memberi ruang kepada Tun Tan Cheng Lock untuk mendapatkan kedudukan politik yang tetap kepada orang Cina yang datang ke Tanah Melayu.  Hal ini telah dibangkitkannya sejak tahun 1946 semasa berada di India.  Beliau telah menubuhkan ‘Overseas Chinese Association of India’ (OCAI) yang telah menghantar memorandum ke Pejabat Tanah Jajahan supaya memperkenalkan kerakyatan jus soli dan kerakyatan yang longgar bagi mereka yang tidak lahir di Tanah Melayu.  Ini kemudian menjadi dasar yang terkandung dalam rancangan Malayan Union itu.



Bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union, telah menyebabkan Tun Tan Cheng Lock dan Parti Komunis Malaya bekerjasama dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menentang UMNO pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Tun Tan Cheng Lock dan rakan-rakannya telah menubuhkan AMCJA (All Malayan Council of Joint Action) dan bekerjasama dengan PUTERA (Pusat Tindakan Rakyat) pimpinan PKMM.  Gabungan ini kemudian melahirkan Perlembagaan Rakyat yang mengandungi 10 cadangan, sebagai cadangan balas kepada Perjanjian Persekutuan 1948, yang dibuat oleh UMNO dan British.
.
Pada 27 Februari 1949, Tun Tan Cheng Lock bersama-sama pemimpin Cina seperti Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee mengasaskan penubuhan MCA (Persatuan Cina Malaya).  Antara tujuan penubuhan MCA ialah untuk menyatukan orang Cina di seluruh Tanah Melayu, melindungi hak dan kepentingan orang Cina, bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang komunis dan bekerjasama dengan kaum lain untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.  Selaku Presiden, beliau telah mengetuai kempen di seluruh Tanah Melayu.  Kempen ini berjaya dengan tertubuhnya cawangan MCA di semua negeri dan dapat menarik ahli seramai 200,000 orang.


Bilangan cawangan dan ahli semakin bertambah dari semasa ke semasa.  Tugas MCA yang agak mencabar ialah usaha menyakinkan pihak-pihak lain, terutamanya kerajaan British iaitu sebahagian besar orang Cina masih menunjukkan taat setia kepada kerajaan dan mereka tidak mudah bersekongkol dalam perjuangan komunis.  Oleh itu, MCA digerakkan agar menjadi wakil orang Cina apabila berurusan dengan kerajaan British.  MCA telah memberi kerjasama yang rapat dengan kerajaan British dalam usaha melemahkan perjuangan komunis yang berjuang secara kekerasan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.


Usaha selanjutnya yang digerakkan oleh MCA ialah mewujudkan kerjasama antara kaum.  Langkah ini selaras dengan syarat yang digariskan oleh kerajaan British yang menentukan segala kegiatan politik Tanah Melayu selepas terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 hendaklah berasaskan kerjasama antara kaum.


Dalam tahun 1952, State Nationality yang diluluskan, masih meletakkan syarat tertentu kepada orang bukan Melayu.  Sebagai Ahli Dalam Negeri pula, Dato’ Onn memperkenalkan Undang-undang Imigrasi 1952, 1953 dan Business Act 1953 yang memberi kesan kepada ahli-ahli Cina IMP.  Perpecahan Tun Tan Cheng Lock dan Dato’ Onn dalam  IMP mula kelihatan sejak dari sokongan Tan terhadap tindakan H.S. Lee yang bekerjsama dengan UMNO dalam Pilihan Bandaran Kuala Lumpur pada bulan Februari 1952.  Dato’ Onn dengan itu telah membidas sikap politik orang Cina secara terbuka yang membawa perpindahan sokongan Tun Tan Cheng Lock dan MCA kepada UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman.


Tun Tan Cheng Lock telah membawa MCA dalam Konvensyen Kebangsaan (National Convention) yang dianjurkan bersama UMNO pada 23 Ogos 1953.  Kata sepakat telah dicapai untuk mencapai persefahaman ke arah mencapai kemerdekaan Tanah Melayu melalui jalan aman.  Pembentukan parti Perikatan yang mengandungi MCA, UMNO dan MIC mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan.  Tambahan pula, Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam Pilihanraya Persekutuan tahun 1955.  Cita-cita Tun Tan Cheng Lock yang sejak awal perjuangannya menekankan prinsip kerakyatan secara jus soli menjadi kenyataan apabila UMNO menerima prinsip ini.  Prinsip ini telah dimasukkan dalam memorandum Perikatan yang kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Reid yang bertugas menggubal Perlembagaan Tanah Melayu Merdeka.


 Ketika memimpin MCA, beliau telah menunjukkan kecenderungan membela kaum Cina melalui kerjasama dengan orang Melayu dan India.  Beliau menjadi ahli dalam Jawatankuasa Hubungan Kaum, wakil MCA dalam Konvensyen Kebangsaan dan bersama-sama menubuhkan parti Perikatan.  Penubuhan Perikatan menjadi landasan mencapai kemerdekaan dan kestabilan politik negara.  Asas yang dipupuk dalam Perikatan menjadi ikutan generasi pemimpin yang terkemudian dengan tertubuhnya ‘Barisan Nasional’ yang mengandungi komponen parti yang lebih banyak.


Beliau meninggal dunia pada 13 Disember 1960 ketika berusia 77 tahun.

www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment